Saturday, October 20, 2012

TeNTaNG ReLeVaNSi TaBuNG PeCaH

Alat tulis berselerak. Kertas memo bikin semak. Ini meja atau sarang babi berjimak?

*geleng kepala

*bersandar di kerusi*Hela nafas lantas bersin. Hatchoo! (Falsetto di hujung).Ekskius me.

Aku sibuk. Masa suntuk. Hiruk pikuk.
Situasi yang pungkuk!
Haish...Setiap hari. Bangun pagi. Persiap diri. Menghamba abdi. Demi sesuap nasi.
Kitalah mangsa siratan makanan yang kita lakar sendiri.

*Membuka bungkusan cokolat Toblerone mini rakan sepejabat beri.

Hari ini aku mahu bicara tentang duit. Tentang money. Tentang fulus.

*Membaling bungkusan ke dalam tong sampah.
*Missed.
*Pungut semula dan masukkan ke dalamnya.

Aku diasuh menabung.
5 sen. Dua keping.10 sen. Lebih belanja tadi.
20 sen. Wah, banyak lebih hari ni!
50 sen. Kao tak makan ye kat sekolah tadi?
Seringgit (siling emas).Wah, dia duduk rumah batu....

Masa kecil umur 3 - 4 aku ada tabung Harimau (yang mata satu hilang tu).
Tapi Bunda khuatir duit hilang sebab punggungnya senang dibuka.
Maka berpindah kepada patung burung Nuri kat belakang dia ada beg sekolah.
Satu hari, datang arwah atuk sedara, namanya Tok Mek, sering bagi aku 20 sen.
Kalau takde pun, dia bagi juga 10 sen.
Aku teruja nak masuk dalam tabung Burung Nuri.
Tapi.
Tabung dalam bilik. Belakang cermin solek.
Bilik gelap. Aku takut ada momok.
Bermonolog dalaman sendiri, nak masuk ke tak dalam bilik tu.
Aku nampak tabung itu belakang cermin solek.
Terbayang pula momok sedang sembunyi belakang almari nak sergah aku.
Takut. Langkah ke depan, patah balik.
Aku nak masuk jugak. Tak kira.
*Jalan
Semakin hampir pada tabung.
Go, Hairi, go.
Yeah, dapat tabung.
Masuk duit 20 sen.
Berjaya!

*bunyi cicak.

Tabung terlepas dari tangan aku.
Aku pecut lari. Celaka punya cicak.
Tabung pecah. Duit berterabur.
Ada yang jatuh celah-celah papan lantai rumah.
Bunda bising dari dapur. Aie!!! Apa tu?
Bunda naik atas rumah. Aku mampu tunding jari sahaja.
Astaga.... ujar Bunda, lantas buka lampu bilik.
Habis pecah tabung! Berterabur duitnya.
Bunda pungut satu-satu masuk dalam kain.
Esok nanti Abang An masuk bawah rumah suluh lampu cari yang jatuh bawah sana ek, kata Bunda. Aku mengangguk dengan penuh comel.

Ceh, kalau dari tadi aku panggil Bunda teman kan senang...

Bila aku sudah besar sedikit, dalam umur 7 – 9 tahun, aku ada tabung gajah Bank Simpanan Nasional (aku memang suka gajah la dulu). Kalau masuk duit, tabung tu bunyi lagu. Itu yang aku semangat kumpul. Kalau takde siling, aku curi sepit rambut Bunda, aku lalukan pada lubang tabung, maka berbunyilah ia. Jakun. Nasib baik tidak disumpit aku tabung itu.



Paling mewah, hari raya. Tipikal aku, Bunda larang aku beraya rumah jiran tetangga, macam ceti kutip duit sewa agaknya. Tapi aku tidak ambil pusing. Banyaknya duit raya makcik dan pakcik bagi sudah bikin aku mahu kesat hingus dengan duit kaler merah. Aku dari keluarga besar. Belah ayahanda ada 11 orang adik beradik. Belah bunda ada 24 adik beradik (tiga ibu). Belah atuk sedara lagi. Belah entah sapa-sapa lagi. Seorang bagi aku RM2 pun, menjadi total mencecah RM600 – RM700 setahun. Suka aku tengok buku akaun banyak simpan duit. Rasa nak kipas-kipas guna duit sambil gelak kaya Aziz Satar. Aku nekad mahu simpan duit banyak-banyak.




Tapi satu insiden telah mengubah tekad itu.




Suatu hari aku pulang dari sekolah. Ayahanda bilang, mahu keluarkan duit aku dari bank. Katanya kakak aku di universiti perlukan duit belanja. Abah tak cukup duit, katanya. Nanti abah ganti, janjinya. Aku angguk sahaja. Budak kecil. Yang aku fikir penting ketika itu, harap jangan lambat sangat balik ni kang sebab aku mahu tonton gaban dan suria perkara hitam di tivi.



Maka keluarlah kami anak beranak dengan basikal biru arwah ayahanda. Arwah ayahanda berkayuh, aku membonceng di belakang. Sesekali, arwah ayahanda mengangkat tangan sana sini apabila nama dipanggil. Diva betul ayahanda aku ini.



Tiba di bank, isi borang, cop jari, dapat duit, beri pada ayahanda, lepas tu aku tidak tahu ayahanda buat apa. Usha buku akaun. Berkurangan sedikit. Takpe. Ayahanda janji nak bayar.



Beberapa minggu/bulan selepas itu, ayahanda mahu pinjam lagi. Abang aku pula perlu wang di universiti. Abah tak cukup duit, bilangnya lagi. Aku angguk sahaja lagi. Sebelum pergi ke bank, Bunda pesan, jangan khabarkan pada sesiapa kita guna duit aku. Aku angguk lagi.



Keluar lagi aku dan ayahanda berbasikal ke bandar. Selesai urusan, aku usha buku akaun. Kurang lagi. Takpe. Ayahanda dah janji nak bayar nanti.

Dan beberapa bulan selepas itu, pinjam lagi. Kakak dan abang aku tandus duit lagi. Berbasikal ke bandar lagi. Fokus aku sudah sedikit berubah daripada terlepas siri gaban dan suria perkasa hitam kepada kemungkinan ayahanda akan menggantikan kembali wang dalam akaun aku itu. Tapi ayahanda tetap berjanji. Aku tetap percaya pada ayahanda. Walau nilai wang aku menyusut daripada ribu ke belasan ringgit sahaja.



Akhirnya, ketika aku darjah 6, aku bertanya pada Bunda tentang janji-janji itu semua.
Bunda khabarkan kisah sebenar. Bunda sendiri menggadai barang kemasnya.
Kita tak cukup duit, dik. Kalau ada rezeki adalah gantinya.
Maka bermula hari itu, aku sudah tidak menabung lagi.
Semenjak itu, tabung gajah aku mula berhabuk.
Mungkin bila sudah besar nanti, kakak-kakak aku dan abang aku akan ganti.
Tapi lama lagi. Tunggu sahaja.




Hari ini, jika kalian bertanya, adakah hutang-hutang itu aku akan tuntut kembali
Sejumlah wang beribu yang menyusut nilai daripada kakak-kakak dan abang sendiri?



Jawabnya tidak sama sekali.



You see.

Benar, dahulu mereka berhutang dengan aku. Tapi kini, aku yang berhutang dengan mereka. Jika set off hutang aku dan hutang mereka, aku jelas berhutang lebih banyak. Kerana jasa mereka menanggung belanja aku di sekolah menengah dan kampus. Tak termampu aku bayar kembali. Dan arwah ayahanda tidak pernah mungkiri janji. Arwah ayahanda pinjam, anak-anaknya yang bayar kembali pada aku. Kini aku pula terhutang budi.


Aku pernah berputus asa pada menyimpan untuk masa depan.
Belum terlewat aku ransangkan kembali adrenalin teruja itu.
Walau tabung belakang cermin solek, ketinggian aku sudah mencukupi untuk aku petik suis lampu.
Dan momok takut lampu terang.
Dan aku bisa lastik cicak yang bising.
Tiada alasan untuk aku tidak mula menyimpan.
Hairi Tahir,
Mari mulakan!

3 comments:

Bibah said...

adeh...akupun kena startgak nie..ahaha

Pojiepooh Abdullah said...

r we having the same issue rite now?
erm, kne start belajar menabung dari awal :(

Love,
PojiePooh Abdullah

Anonymous said...

aku dari kecik lagi dah diterapkan budaya menabung..tiap hari masukkan duit, tapi sebenarnya duit bapak aku,jadi bapak aku lah yg menabung..aku tolg masukkan je ke dlm tabung sebab nak dgr bunyi muzik.haha rindu zaman itu