Sunday, October 21, 2012

Malang Memanglah Tak Berbau Macam Kentot Kau

Aku baru sampai di Kajang setelah bertolak dari Muar jam empat.
Memandu di barisan terkanan lebuh raya tatkala hujan sedang lebat.
Kereta belakang lagaknya tidak sempat lantas bunyikan hon dengan kuat.
Mungkin pemandunya mahu tercirit di RnR terdekat?

Faham kereta MyVi aku tidak semahal kereta kamu. 
*Ke tepi dan dipintas dengan deruan enjin paling kuat tanda protes. 
Ada aku kisah?

Hari ini aku mahu cerita tentang himpunan kisah-kisah malang satu hari ketika zaman pelajar. 
Di mana perutku tidak seboroi hari ini. 
*Aku yakin ada yang membomohkan aku dengan busung, (padahal aku yang malas sit up hari-hari).

Mangsa-mangsa terlibat ialah aku dan dua orang budak sebilikku. Boy dan Ejay.

Kisah #1: Duka Lara Diraba
Bulan Ramadhan mulia. Pada petang hari selepas kelas yang bosan dan menyeksakan, sudah tentu diisi dengan cadangan menyerang bazar berdekatan atau memilih restoren makanan untuk berbuka puasa. Memandangkan aku ditaja Bank Negara Malaysia, zaman belajar memang aku meneliti menu makanan sahaja, tanpa memandang harga. Wah, bangsawan sangat. 

Maka kami sebulat suara memilih Dome di KLCC. Menu nasi lemak. Macam di cafe tiada jual. Ya lah, daripada aku keluarkan duit di ATM kemudian buat kipas-kipas diri tanda biasiswa baru masuk dan kemudian depositkan kembali, adalah lebih baik aku keluarkan untuk memenuhkan perut sendiri dengan makanan bangsawan. 

Nanti hujung bulan mulalah aku menjadi pengemis muda dan membuat muka secomel Kucing Oren filem Shrek dengan Bonda. *Korus lagu Sheila Majid kedengaran.

Sambil menunggu azan berkumandang... oh silap. Di KLCC mana kedengaran sangat. Semula... sambil menunggu mak telefon aku memberitahu orang sudah berbuka, kami pun mulalah sesi bergosip. Gosip itu seronok. Daripada mengantuk terus jadi segar bugar, tahu? Tapi sebab bulan Ramadhan, kami namakan sesi tersebut sebagai sesi membincangkan masalah ummat demi pengajaran masyarakat sejagat. 

Ejay membuka cerita dengan kisah diraba senior ketika tidur baru-baru ini. Kebetulan kami bertiga masing-masing ada kisah diraba senior ketika sekolah dulu. Oh, tak tak, aku bukan nak cakap aku jambu sehingga diraba ketika sekolah dulu. Maka berceritalah kisah sedih masing-masing sampai air mata meleleh bagai, campur kisah fitnah rakan-rakan yang tidak memahami, alahai sadisnya kehidupan malang masing-masing. 

Kisah sedih ini ditamatkan dengan ketibaan nasi lemak RM16 yang sedap itu, dan disempurnakan dengan kek coklat berais krim. Kombinasi hebat coklat panas dan ais krim sejuk menyebabkan kami merasakan masturbasi pun tidak sepuas kek ini, demm kecur pula. 

Masing-masing pun memuji kesedapan maksimum kek tersebut dengan bunyi-bunyian kesedapan. Uhhh.. ahh.. erm... ahh.. sedapnya. 

Menyedari meja-meja berdekatan mula memandang, kami pun berhenti kerana menyedari bunyi-bunyian tersebut seolah-olah sedang berthreesome di atas meja makan. 

Kisah #2: Dihalau Pak Guard Boroi yang Jahat
Dah nama pergi KLCC, kalau tak tengok movie tak sah lah kan. Ada saja nanti yang bilang - bulan puasa, adalah lebih baik bertarawikh di Masjid. Ya, aku balik bilik aku buat saja tarawikhnya. Terima kasih kerana mengingatkan. 

Hasrat tidak kesampaian kerana movie yang ditayangkan semuanya tidak menggiurkan. Kalau ada pun filem Prof. Razak Mohaideen. Aku lebih rela terjun dari tingkat teratas KLCC dari menonton filem beliau. 

Maka kami pun berjalan-jalan di sekitar taman KLCC menghirup angin yang segar tanpa gangguan Syaitan yang sedang diikat di bulan mulia ini. 

Tiba-tiba bunyi prit-prit yang kuat. 

Kami tak ambil pusing. Kami bukan buat jahat pun. Tidak nampakkah wajah-wajah kami yang kacak, handsome, bergaya, khusyuk, tawadduk ini? Tak kan kami nak buat jenayah di sini?

"Hoi! Keluar! Keluar! Ini taman sudah tutup! Tada faham ka? Orang sudah cakap!"

Boleh jerit kuat lagi tak Pak Guard sampai seluruh kawasan keliling tasik dengar?

Kisah #3: Minyak Motor yang Menghampakan
Tiba di UIA dengan bas rapidKL terakhir. Jam 11 malam. Boleh saja nak melepak lama-lama sekitar bandar KL dan merasakan diri seperti anak liar yang terbiar tidak cukup kasih sayang ibu bapa. Tapi memandangkan curfew UIA ialah jam 12 malam (mungkin jabatan keselamatan khuatir kami semua bertukar menjadi cinderella yang hodoh, maka sesiapa yang masuk melampaui jam 12 akan didenda RM50). Maka daripada aku bersedeqah RM50 yang dikhuatiri akan ditukarkan menjadi puntung-puntung rokok mereka yang bertaburan di longkang berdekatan, lebih baik kami pulang awal. 

Aku dan Ejay sebilik di Mahallah Osman. Boy pula sejauh alam di Mahallah Zubair. Mahallah Zubair punya jauh boleh bikin kau putus asa dengan kehidupan. Kemudian aku tersedar fakta yang menyedihkan.

Solution kanta lekapku di bilik Boy!!!!

Nasib baik Ejay ada motor boleh hantarkan aku ke bilik Boy. Naiklah kami bertiga di atas motor yang minta nyawa itu menuju ke bilik Boy di langit ke tujuh. 

Belum separuh jalan pun. Pret pret pret pret peeeet..... *Enjin mati
Bongok. Kenapa kau tidak isi minyak tadi, Ejayyyyy????!!!!

Kisah #4: Menapak Jalan yang Menjauh

Kami membuang lima minit tidak berguna itu menyorong kembali motor Ejay ke tempatnya. Hari sudah larut malam. Atas dasar persahabatan yang utuh dan berkualiti, (sebenarnya semua takut kena sergah langsuir dari celah-celah belukar berdekatan), kami bercadang untuk berjalan ke Mahallah Zubair bersama-sama seiya sekata sehati sejiwa menghadapi cabaran. 

Sedih betul hari ini. 

Kelihatan sebuah van baru keluar dari mahallah berdekatan menuju ke mahallah Zubair. Kami berlari-larian seperti Destiny's Child dalam video klip survivor mengejar helikopter sambil memanggil-manggil van tersebut. 

Hampa. Van tidak nampak kami. Atau pura-pura. Atau sebenarnya takut kami ini jelmaan hantu? Aku sekacak ini difikirkan hantu kah? 

Sentap.

Kisah #5: Minyak Kereta yang Hampa
Setibanya di bilik Boy, kami sudah berlengas. Penat. Bertebaran di katil dan lantai bilik. Nak maki siapa pun kami tidak tahu. 

Tiba-tiba telefon bimbit Boy berbunyi. Kak Dayang menelefon ajak sahur di luar. 

Oh, Kak Dayang merupakan kakak senior yang sangat cantik dan putih, tipikal gadis Kelantan yang comel-comel. Kami semua sangat sayang Kak Dayang kerana Kak Dayang sering memanjakan kami dengan membelanja kami makan. Kakak-kakak lain kami tak berapa sayang sangat. 

Dan kehebatan kak Dayang mengayat abang-abang guard yang jahat dan boroi juga mengagumkan. Sebab itu kami boleh keluar malam. 

Kak Dayang menyewa kereta dan menjemput kami di Mahallah. Gila kau. Berjalan jauh mahu tidak lapar kembali. Cepat sahaja otot-otot badan memproses nasi lemak dan kek coklat stim tadi. 

Ejay memandu. Keluar sahaja, belum sampai 10 minit memandu, tiba-tiba kereta perlahan... dan berhenti. 

Kau jangan buat lawak lagi, Ejay. 

Tak, kereta habis minyak di tengah lebuh raya. 

Aku hanya mampu meludah ke langit. 

Penutup
Apabila kenang-kenang kembali kisah ini, aku tergelak tersenyum seorang macam orang gila. Orang gila yang kacak. Matilah.

Entah apa kisah mereka semua. Kami sudah membawa haluan masing-masing. 

Kak Dayang pun sudah beranak seorang dan kerja di Kelantan. 
Boy pun sudah bekerja dan memilik syarikat sendiri katanya. 
Ejay pula menyambung pelajaran di luar negara. 

Semoga kalian sentiasa di bawah lindungan Tuhan... Amin...

Pak Guard yang boroi-boroi semua aku tidak ambil peduli apa jadi dengan mereka. 

No comments: