Thursday, December 6, 2012

Evolusi Cita-cita Serupa Teori Beruk Manusia Darwin

Aku umur berapa entah. Sumpah selama ni aku fikir aku comel. Rupanya selebet. Dahlah macam perempuan.
Tahun: 1987 
Umur: 3 Tahun 
Status: Lampin melekap rapi dan mantap di punggung. (Masa tu ayahanda dan bunda belum mampu membeli pampers) Berak dan kencing masih dibasuh Bunda. Aktiviti masa lapang ialah bermain air sabun di sinki atau baldi dalam bilik mandi. 
Cita-cita: Jelas masih belum mempunyai visi masa hadapan.

Tahun: 1988 

Umur: 4 Tahun 
Status: Gemar memegang bedak talkum Carrie kemudian menyanyi dengan pelat di hadapan cermin. Pelat kerana kakak dan abang saya tidak dapat memahami apa yang saya nyanyikan. 
Cita-cita: Penyanyi seperti Jay Jay.

Tahun: 1990 
Umur: 6 Tahun 
Status: Penuntut Tadika Islam Muar. 
Cita-cita: Mau menjadi Nabi. Gila khurafat dan murtad cita-cita saya ketika itu. Saya mahu jadi Nabi sebab apabila Ustazah bercerita pasal Nabi, saya kagum dan merasakan Nabi-Nabi semua hero. Bila ada orang kafir kacau sahaja, mesti Nabi-Nabi dapat pertolongan Allah dan menang dengan penuh bergaya. Nasib baik Ustazah Zaharah sempat membetulkan aqidah saya dengan memberitahu Nabi-nabi semua Allah yang pilih. Saya masih bertanya: Kalau macam tu saya nak doa pada Allah suruh lantik saya jadi Nabi, boleh cenggituh? Ustazah Zaharah pun berkata: Nabi Muhammad Nabi terakhir, dan kita ummatnya. 
Alah saya budak-budak ketika itu, apa saya tahu.

Tahun: 1991 

Umur: 7 Tahun 
Status: Murid Darjah Satu Sekolah Ismail Dua (2) Muar. 
Cita-cita: Posmen. Seperti ayahanda. Tapi apa yang saya tidak tahu, kerja Posmen bukanlah menangkap orang jahat kemudian menyumbat mereka ke dalam penjara. Itu kerja Polis. Namun saya keliru antara Posmen dan Polis sebenarnya kerana baju seragam mereka (terutamanya topi) adalah lebih kurang sama. Warna sahaja lain. Maknanya cita-cita saya ketika itu ialah Polis. Tapi saya bilang pada Cikgu – Posmen! 
Bimbo tak beragak kau ni, Hairi

Tahun: 1993 

Umur: 9 Tahun 
Status: Murid Darjah Tiga Sekolah Ismail Dua (2) Muar 
Cita-cita: Doktor. Idea bunda. Motif? Nanti kalau orang tanya mak, anak mak keje apa, mak bangga lah jawab anak mak keje doktor. Nanti kalau mak sakit, kau boleh ubatkan mak. Masa nak enjeksyen BCG pun saya lari sembunyi kat kantin, ada hati mau jadi doktor. 
Cett, poodah!

Tahun: 1996 
Umur: 12 Tahun 
Status: Murid Darjah 6 Sekolah Ismail Dua (2) Muar
Cita-cita: Penulis. Imaginasi besar sangat sampai tulis buku cerita sendiri dalam buku latihan kaler coklat tu. Kemudian kawan-kawan kelas baca.

Tahun: 1998 

Umur: 14 Tahun 
Status: Pelajar Tingkatan 2 SMKA Maahad Muar
Cita-cita: Cikgu. Nanti perhimpunan Hari Guru boleh menyanyi atas pentas. Tiba.

Tahun: 2001 

Umur: 17 Tahun 
Status: Pelajar Tingkatan 5 Kolej Islam Sultan Alam Shah 
Cita-cita: Pakar bahasa. Ketika itu menguasai Bahasa Melayu, Inggeris, Arab dengan baik. Tahu asas komunikasi bahasa Mandarin dan Perancis. Konon mahu berkebolehan berbahasa 10 bahasa berbeza. Tambahan pula subjek sains menunjukkan kelaharan kelas pertama.

Tahun: 2003 

Umur: 19 Tahun 
Status: Mahasiswa Pusat Matrikulasi UIAM Petaling Jaya
Cita-cita: Peguam. Keputusan SPM menunjukkan A hanya pada subjek bukan Sains. Subjek Sains semua tidak boleh dimaafkan. Terasa diri telah membazir bahan kimia sains di makmal sahaja selama ini. Terkilan dengan keputusan sekolah menengah. Balas dendam di Pusat Matrikulasi. Keputusannya: Top 5 Best Student Fakulti Undang-undang Matriks PJ dengan pointer 3.8. Hamek nkau!

Tahun: 2005 

Umur: 21 Tahun 
Status: Mahasiswa Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Kampus Utama UIAM Gombak 
Cita-cita: Pereka Grafik. Sudah bosan dengan subjek perundangan. Pointer sudah terkeluar dari senarai dekan. Gila mereka grafik dengan Adobe Photoshop. Terasa bagai mahu berhenti UIAM dan mulakan hidup baru di MMU.

Tahun: 2008 

Umur: 24 Tahun
Status: Ditawarkan posisi sebagai Senior Executive Unit Syariah Jabatan Perbankan Islam dan Takaful Bank Negara Malaysia selaku bekas pemegang biasiswa.
Cita-cita: Mahu menjadi pekerja yang soleh di bawah lembayung Kaabah.

Tahun: 2009 

Umur: Masih 24 Tahun 
Status: Senior Executive Unit Syariah JPIT BNM. Menghadap sekumpulan nombor-nombor saham options, melukis graf, melakukan kira-kira dengan menggunakan kalkulator saintifik lantaran kira-kira itu umpama Matematik Tambahan, menduga persembahan saham pasaran dan mengira dan terus mengira sehingga pecah kepala. Saya runsing kerana pekerjaan saya semakin hari semakin tidak masuk akal kerana semakin lari daripada kelayakan akademik saya – Undang-undang.
Cita-cita: Pasrah dengan masa depan.
Mungkinkah Penari Bogel Kelab Malam?? Itu pemandangan terhodoh abad ini dengan lemak-lemak bergelimpangan.

Jika diperhatikan dengan teliti, cita-cita saya dari sejak lahir berevolusi macam Beruk kepada Manusia. Dan setiap satunya tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain. Kita manusia hanya mampu merancang. Tuhan menentukan. Apa-apa pun, main air dan sabun merupakan karier termantap sepanjang kehidupan saya di muka bumi ini. Sekian... 


Hairi Tahir