Thursday, December 6, 2012

Evolusi Cita-cita Serupa Teori Beruk Manusia Darwin

Aku umur berapa entah. Sumpah selama ni aku fikir aku comel. Rupanya selebet. Dahlah macam perempuan.
Tahun: 1987 
Umur: 3 Tahun 
Status: Lampin melekap rapi dan mantap di punggung. (Masa tu ayahanda dan bunda belum mampu membeli pampers) Berak dan kencing masih dibasuh Bunda. Aktiviti masa lapang ialah bermain air sabun di sinki atau baldi dalam bilik mandi. 
Cita-cita: Jelas masih belum mempunyai visi masa hadapan.

Tahun: 1988 

Umur: 4 Tahun 
Status: Gemar memegang bedak talkum Carrie kemudian menyanyi dengan pelat di hadapan cermin. Pelat kerana kakak dan abang saya tidak dapat memahami apa yang saya nyanyikan. 
Cita-cita: Penyanyi seperti Jay Jay.

Tahun: 1990 
Umur: 6 Tahun 
Status: Penuntut Tadika Islam Muar. 
Cita-cita: Mau menjadi Nabi. Gila khurafat dan murtad cita-cita saya ketika itu. Saya mahu jadi Nabi sebab apabila Ustazah bercerita pasal Nabi, saya kagum dan merasakan Nabi-Nabi semua hero. Bila ada orang kafir kacau sahaja, mesti Nabi-Nabi dapat pertolongan Allah dan menang dengan penuh bergaya. Nasib baik Ustazah Zaharah sempat membetulkan aqidah saya dengan memberitahu Nabi-nabi semua Allah yang pilih. Saya masih bertanya: Kalau macam tu saya nak doa pada Allah suruh lantik saya jadi Nabi, boleh cenggituh? Ustazah Zaharah pun berkata: Nabi Muhammad Nabi terakhir, dan kita ummatnya. 
Alah saya budak-budak ketika itu, apa saya tahu.

Tahun: 1991 

Umur: 7 Tahun 
Status: Murid Darjah Satu Sekolah Ismail Dua (2) Muar. 
Cita-cita: Posmen. Seperti ayahanda. Tapi apa yang saya tidak tahu, kerja Posmen bukanlah menangkap orang jahat kemudian menyumbat mereka ke dalam penjara. Itu kerja Polis. Namun saya keliru antara Posmen dan Polis sebenarnya kerana baju seragam mereka (terutamanya topi) adalah lebih kurang sama. Warna sahaja lain. Maknanya cita-cita saya ketika itu ialah Polis. Tapi saya bilang pada Cikgu – Posmen! 
Bimbo tak beragak kau ni, Hairi

Tahun: 1993 

Umur: 9 Tahun 
Status: Murid Darjah Tiga Sekolah Ismail Dua (2) Muar 
Cita-cita: Doktor. Idea bunda. Motif? Nanti kalau orang tanya mak, anak mak keje apa, mak bangga lah jawab anak mak keje doktor. Nanti kalau mak sakit, kau boleh ubatkan mak. Masa nak enjeksyen BCG pun saya lari sembunyi kat kantin, ada hati mau jadi doktor. 
Cett, poodah!

Tahun: 1996 
Umur: 12 Tahun 
Status: Murid Darjah 6 Sekolah Ismail Dua (2) Muar
Cita-cita: Penulis. Imaginasi besar sangat sampai tulis buku cerita sendiri dalam buku latihan kaler coklat tu. Kemudian kawan-kawan kelas baca.

Tahun: 1998 

Umur: 14 Tahun 
Status: Pelajar Tingkatan 2 SMKA Maahad Muar
Cita-cita: Cikgu. Nanti perhimpunan Hari Guru boleh menyanyi atas pentas. Tiba.

Tahun: 2001 

Umur: 17 Tahun 
Status: Pelajar Tingkatan 5 Kolej Islam Sultan Alam Shah 
Cita-cita: Pakar bahasa. Ketika itu menguasai Bahasa Melayu, Inggeris, Arab dengan baik. Tahu asas komunikasi bahasa Mandarin dan Perancis. Konon mahu berkebolehan berbahasa 10 bahasa berbeza. Tambahan pula subjek sains menunjukkan kelaharan kelas pertama.

Tahun: 2003 

Umur: 19 Tahun 
Status: Mahasiswa Pusat Matrikulasi UIAM Petaling Jaya
Cita-cita: Peguam. Keputusan SPM menunjukkan A hanya pada subjek bukan Sains. Subjek Sains semua tidak boleh dimaafkan. Terasa diri telah membazir bahan kimia sains di makmal sahaja selama ini. Terkilan dengan keputusan sekolah menengah. Balas dendam di Pusat Matrikulasi. Keputusannya: Top 5 Best Student Fakulti Undang-undang Matriks PJ dengan pointer 3.8. Hamek nkau!

Tahun: 2005 

Umur: 21 Tahun 
Status: Mahasiswa Kuliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim Kampus Utama UIAM Gombak 
Cita-cita: Pereka Grafik. Sudah bosan dengan subjek perundangan. Pointer sudah terkeluar dari senarai dekan. Gila mereka grafik dengan Adobe Photoshop. Terasa bagai mahu berhenti UIAM dan mulakan hidup baru di MMU.

Tahun: 2008 

Umur: 24 Tahun
Status: Ditawarkan posisi sebagai Senior Executive Unit Syariah Jabatan Perbankan Islam dan Takaful Bank Negara Malaysia selaku bekas pemegang biasiswa.
Cita-cita: Mahu menjadi pekerja yang soleh di bawah lembayung Kaabah.

Tahun: 2009 

Umur: Masih 24 Tahun 
Status: Senior Executive Unit Syariah JPIT BNM. Menghadap sekumpulan nombor-nombor saham options, melukis graf, melakukan kira-kira dengan menggunakan kalkulator saintifik lantaran kira-kira itu umpama Matematik Tambahan, menduga persembahan saham pasaran dan mengira dan terus mengira sehingga pecah kepala. Saya runsing kerana pekerjaan saya semakin hari semakin tidak masuk akal kerana semakin lari daripada kelayakan akademik saya – Undang-undang.
Cita-cita: Pasrah dengan masa depan.
Mungkinkah Penari Bogel Kelab Malam?? Itu pemandangan terhodoh abad ini dengan lemak-lemak bergelimpangan.

Jika diperhatikan dengan teliti, cita-cita saya dari sejak lahir berevolusi macam Beruk kepada Manusia. Dan setiap satunya tidak mempunyai kaitan antara satu sama lain. Kita manusia hanya mampu merancang. Tuhan menentukan. Apa-apa pun, main air dan sabun merupakan karier termantap sepanjang kehidupan saya di muka bumi ini. Sekian... 


Hairi Tahir
 

Sunday, October 28, 2012

Generalisasi #1


Aku menyampah sama oversea student/graduate. 

Ha, provokatif kan tajuk. 
Lepas ni Harian Metro boleh ambil aku kerja mereka tajuk berita akhbar.

Sebenarnya aku sedang mereng-mereng ayam sebab baru melantak sushi sampai perut rasa nak pecah keluar ulat.

Tapi aku tak tipu. Memang aku pernah menyampah pun. Masa aku dapat biasiswa Bank Negara pun, bebudak oversea akan duduk selonggok macam golongan elit habis lah kan, dan lepas taklimat kat dewan BNM ni macam nak terus main golf sambil hisap curut.

Lepas tu masa sesi soal jawab dalam dewan BNM, ramai lah oversea student ni nak menunjuk kursus apa dia ambil kat luar negara tu sebab hebat sangat campur bahan kimia jadi kebabom macam Hermayoni Grenger dalam Harry Potter. Soalan korang tu kalau tak tanya pun takpe kot. Lagi satu, pejadah korang tanya HR BNM, tanya lah universiti korang yang gah sangat tu. HR kita mana tahu. 

Dah kau ni nak emo kenapa Hairi?

Ok aku nak cerita kemenyampahan aku ni bukan sahaja pada bebudak oversea, tetapi sama mak bapak dia sekali. Mana tak, ada sekali satu sesi tu, ibu bapa pemegang biasiswa kena datang sekali.  Gila bangga kot, mak abah aku jejak kaki kat BNM. Dulu masa kecik-kecik arwah abah aku cakap kalau nak banyak duit keje sini (sambil tunding jari kat BNM). Cuma dia tak tahu hari ni aku kais pagi makan pagi kais petang makan petang. 

Gitu dramatik saja ayat aku.

Ok melalut pulak. Sambung. Ada taklimat di dewan lah bagai apa. Habis taklimat, terus naik tingkat atas jamuan bersama ibu bapa dan pengarah-pengarah jabatan. Macam suai kenal PIBG pun ada. Tiga pasangan ibu bapa, pemegang biasiswa akan duduk bersama seorang pengarah jabatan dalam satu meja.

Masa tu aku tak peduli sangat. Sebab kejakunan melanda jiwa. Makanan mewah sangat weh. Cedok saja mana kau nak. Sila makan sampai bodoh.

Di meja makan aku, ada lah mak abah, ibu bapa pendiam dan ibu bapa pakar ekonomi. Yang ibu bapa pakar ekonomi ni pun terus sembang lebat dengan pengarah jabatan di meja aku. Wah semua tajuk ekonomi merosot melanda dunia, George Soros, Skim Ponzi, Machivelli, semua keluarlah. Tak bagi peluang langsung pengarah jabatan tu cakap dengan ibu bapa lain.

Mak dan arwah abah aku confirm tak faham sepatah haram pun. Arwah bapa aku posmen, mak aku suri rumah yang ambil upah jahit baju. Ponzi ke Machivelli macam nama jenama detergen pencuci lantai je kat diorang.

Sebab tak boleh join sama bincang ekonomi negara yang ada Machivelli dengan Ponzi tu, arwah abah hanya hirup kuah mushroom sup, siap ada meleleh-leleh dikesat mak dengan kain tisu. Cerekarama sangat kan?

Lama-kelamaan, agaknya pengarah jabatan tu perasan arwah bapa aku senyap sambil makan dengan khusyuk dan tawadduk, pengarah jabatan tu pun menegur.

“Pakcik naik apa datang sini?”

Arwah abah pun kesat mulut pakai tisu dan cakap, “Pakcik datang naik bas dari Muar, pagi tadi baru sampai Pudu, anak pakcik ambil dekat stesen keretapi.”

“Oh, ye ke. Anak pakcik ambil apa?” pengarah jabatan tu tanya lagi.

“Oh, dia amik law. Civil dan Syariah. Tapi di UIA je,” jawab arwah abah aku merendah diri. Ya lah, sebab anak pakcik pakar ekonomi tadi kan hebat sangat belajar oversea.  

“UIA pun universiti yang bagus. Anak saya masuk UIA. Nanti kalau dia nak kahwin, boleh ambil orang Bank Negara juga, sebab loan rumah boleh sama-sama. Hahahaha”

Ok, part hahahaha tu macam aku tipu sikit. Kot ye pun nak gelak lah kan. 

Daripada perbualan intelek tahap kelas tertinggi Oxford Harvard Cambridge bagai, terus jadi macam sembang-sembang kedai kopi pakcik-pakcik. Sesekali disampuk mak dan ibu bapa pendiam tadi.

Tapi pakcik pakar ekonomi tadi terus terdiam. Pakcik, dengan segala hormatnya sila hirup kuah mushroom sampai muntah dalam jamban, ya. Ha tersenyap kau. Lain kali kalau nak bercakap, pandang kiri kanan. Tak semua orang boleh sembang perkara high level macam kau. Apatah lagi kalau ibu bapa miskin petani, nelayan atau penoreh getah. 

Bila aku masuk kerja BNM pun, ada je terserempak oversea graduate yang fa wau ya wau. 
Ok so ko kelas atasan? Kalau dalam movie Titanic, ko dapat naik sampan dulu? Camtu? 
Ferghi Mathii…

Sampailah aku jumpa mamat nama Hazem, seorang oversea graduate. 
Beliau merupakan seorang yang cool, alim, warak, menghormati orang tua, suka menabung, sering membuat latihan ujikaji matematik dan lain-lain. Memang tak serupa langsung dengan oversea graduate yang aku ketemu selama ini. Bila time aku ada problem dia selalu ada, walaupun dia lebih banyak senyap dari bercakap, sampai aku kena ulang “kau faham tak aku cakap apa?”

Kami best friend. Sampaikan tarikh kahwin pun dekat-dekat. 

Aku yang tidak seberapa handal ni pun menawarkan khidmat fotografi pre-wed percuma. Orang nak tangkap gambar kan. Kau duduk diam diam sudey. 


Dalam setandan pisang tidaklah semua busuk. 

Tak kiralah kau local atau oversea graduate, kemuliaan seseorang itu tetap pada akhlaknya dan taqwanya, kan?

Yang penting ikhlas berkawan. 

Generalisasi itu tidak pernah adil. Kenalilah seseorang itu dengan hati budinya. 

- Hairi -

Monday, October 22, 2012

Orang Beli Radio Baru Dia Mahu Radio Baru

Oh lupa. URL lama sudah tidak berfungsi. 

Blog saya berURL baru: http://mhairitahir.blogspot.com/ 

Sila tukar jika minat membaca.