Tuesday, October 16, 2012

Tentang Diri Aku dan Pekung di Dada

Ihsan foto Ahmad Hizzad Baharuddin | Langkawi Malaysia

Sesungguhnya aku dengan akur diri tewas dan lemah
Lebih mudah daripada perjuang sesuatu yang pastinya akan diludah
Dan aku enggan persia sisa-sisa nafas aku di Bumi untuk pertahan benang yang basah
Hanya untuk membisukan kata orang
*air mata pondan sedang bergenang
Maka aku buka luas pekung di dada yang hancing dan bacin
Sebab aku tiada setanggi lagi untuk aku lumur setiap hari

Pendek: Ini entri nista diri sendiri

Mungkin rasa aku ini bisa jadi jenaka abad ini untuk kalian
Terserah kalian menukil kesimpulan
Aku tidak damba dimengertikan
 
Dan ini himpunan kisah-kisah ringkas sepanjang hidup aku di mana aku rasa aku dayus sebagai seorang anak jantan.

Kisah 1: Aku 3 - 6 Bulan (Bayi)
Ini bonda yang kisahkan. Aku bukan saksi utama. Jiran-jiran dan kenalan arwah ayahanda dan bonda ramai yang bilang. Betapa kulit aku putih sangat. 

"Eh eh putih macam perempuan..."

Apa kau fikir aku boleh kaw tim sama Tuhankah, mahu kulit warna apa untuk kelihatan jantan?
Jadinya anak perempuan kau hitam, tidakkah seperti jantan?

Kisah 2: Aku 2 tahun
Ini juga bonda kisahkan. Ketika itu Kak As sekolah menengah convent. Pulang dari sekolah, buka kain uniform warna biru, tinggal atas lantai kejap, pergi ke bilik mandi. 

Kembali ke kamar dari bilik mandi, kelihatan aku sedang terkinja-kinja menari pakai kain dia. Sumpah aku syukur bakat memondan itu tidak diasah sehingga dewasa. Mintak simpang malaikat 44 orang dulu-dulu kata. 

Kisah 3: Aku 3 tahun
Singapura. Kedai mainan. Nampak mainan gajah di perutnya ada tong drum. Di rumah sudah ada patung harimau (mata satu dah hilang), dua ekor tupai (seekor ekornya putus, seekor lagi ekornya banyak kesan gigitan kerana aku sering gian Nini cokolat celup), patung anjing (kalau tarik sambil berjalan dia akan bunyi *gong gong), patung itik (kat leher dia ada ganggang telefon) dan beberapa belas mainan ikan yang giginya sudah rongak. 

Aku berkenan dengan mainan gajah itu. Arwah ayahanda tidak bagi.  

Itu mainan budak perempuan, katanya. 

Terus arwah suruh apek turunkan sekotak mainan askar yang tergantung tinggi.

Yang ini mainan budak laki-laki, katanya. 

Mainan. Aku tetap suka. Walaupun aku lebih suka gajah itu.

Kisah 4: Aku 4 tahun
Pasar malam. Jalan dengan Mak Eton (makcik aku). Beli kuih Putu Piring di sebuah gerai.

Kakak penjual putu piring: "Adik kecil ini sekolah Convent ke? 
Nota: Convent tu all girls ek.

Mak Eton: Eh, dia ni lelaki lah! Belum sekolah lagi.

Kakak penjual putu piring: La.... Saya ingat dia perempuan!

Aku hanya mendiam diri. Ketika itu belum diajar tunjuk jari tengah lagi. Dan aku lebih fokus bila putu piring nak siap agaknya sebab aku nak singgah gerai burger sebelah.

Kisah 5: Aku 6 tahun
Aku suka ikut Pak Usu ke tempat kerja. Oh, dia Bomba. Aku akan naik kereta duduk depan, tak nampak jalan di hadapan pun sebab aku pendek. Aku suka main-main tembak-tembak sama uncle-uncle berpakaian seragam bomba di situ. 

Beranggapan mereka anggota polis yang kerjanya menangkap orang jahat (sebab uniform mungkin), aku akan bermain tembak-tembak dengan mereka sampai mereka semua mati dan aku dikira menang. Ya, mereka perlu mati. Jika tidak nanti aku menangis kerana kalah. 

Permainan menyeronokkan sebegitu akan tamat apabila bos besar datang dan mengarahkan mereka berkawad.

Suatu malam, aku diusik. Seorang uncle bilang aku nakal sangat. Nanti mereka mahu kahwinkan aku dengan uncle seorang lagi.
Aku menangis di situ sebab chuak. 
Mereka chuak di situ sebab aku menangis.

Sebelum mereka meninggalkan aku yang sedang menangis itu, salah seorang uncle yang aku paling sayang memujuk aku supaya jangan menangis. Aku tidak berhenti menangis dalam kereta. Sehingga Pak Usu aku datang dan bawa pulang.

Itulah malam akhir aku bermain-main bersama uncle-uncle itu semua.
Kerana aku takut dikahwinkan dengan uncle tersebut.

Aku fikirkan kembali, mengapa mereka mengugut aku untuk dikahwinkan dengan uncle seorang itu? Adakah selama aku bermain dengan mereka, mereka fikirkan aku perempuan? Cet!!!

Kisah 6: Aku 7 tahun
Bonda tidak izinkan aku bermain luar daripada pagar rumah. Maka orang kampung akan ternampak seorang budak lelaki (atau masih persepsi aku perempuan?) sedang berlari-lari mengejar ayam atau kucing (mana-manalah mangsa aku tidak kisah asalkan kamu lari biar dikejar), atau bercakap seorang diri, main pasir atau batu. 

Kerana terlalu sunyi, aku ada imaginary friends #kauade? Dua adik lelaki yang cacat, tiga orang kakak yang pakai skirt. Oh, pernah sekali aku bermain di busut anai-anai. Bonda bilang kala maghrib sahaja aku mesti mahu keluar pergi ke busut tu sebab ada 'abang hitam' tunggu. Shit. Meremang ingat balik.
Aku bermain bersama imaginary friends aku sampailah ada jiran aku baru pindah, ada cucu perempuan nama Diana dan Didi. Adalah geng main. Tapi terpisah pagar rumah. Aku cukup menyampah bila dia ajak main patung kertas yang boleh tukar-tukar baju dengan melipat-lipat itu. Dua tahun selepas tu, kami tidak dibenarkan main sama-sama. Dia dah akil baligh. Tak manis orang kampung tengok lelaki dan perempuan main sama-sama. 

Dan masa itu, aku sudah berani curi-curi keluar pergi rumah sepupu jarak empat buah rumah. Mamat dengan Syita. Main polis-polis dengan main game Street Fighter yang pasang di tv tu. Ini baru aku rasa lelaki.

Kisah 7: Aku 8 tahun
Pendidikan Jasmani. Cikgu suruh lompat. Aku pun lompat. Takkan merangkak pula kan. Depan-depan semua kawan-kawan dalam kelas. Dia kata aku lembik. Dan ayat dia ialah -  

Apsal kao lembik sangat ni?

Dan aku masih mencuba untuk melompat dengan cara tidak 'lembik' seperti yang dikatakan sampailah ditukarkan dengan cikgu lain.

Kisah 8: Aku 12 tahun
Pergi sekolah ayahanda hantar naik basikal. Aku bonceng di belakang. Kalau arwah ayahanda kentot memang secara langsung ke muka aku. Daripada darjah satu sampai darjah 6 aku bonceng arwah ayahanda. Darjah 4 aku nak naik basikal sendiri. Ayahanda tak bagi. Aku dah mula rasa loser sebab rakan sebaya semua dah naik basikal sendiri. Aku malu. Darjah 1 - 3 hantar sampai tiang bendera perhimpunan. Darjah 4 - 6 aku merayu hantar sampai luar pintu pagar saja sebab aku malu. Kawan ejek. 
Bila fikir balik, itu tanda arwah ayahanda sayang aku. Cuma arwah ayahanda tak mampu beli kereta. Kalau ada kereta atau motor pun, mesti aku tak malu masa tu bukan? Dan masa itu aku budak yang tak tahu hargai kasih sayang sebegini. Yang aku fikirkan hanya malu kawan ejek. Kalau hari ini, arwah ayahanda ada lagi, aku nak bonceng jugak! Haha. Rindu. *Kesat air mata.

Kisah 9: Aku 13 tahun
Oh, masih aku ke sekolah menengah dihantar oleh ayahanda. Bezanya? Aku naik basikal sendiri. Dia basikal dia. Tapi dia di depan. Aku di belakang. Dan masih jadi perbualan rakan taulan di sekolah. Ada juga yang ejek lagi. Aku tidak kisah sangat. Sampai aku Tingkatan 3 baru ayahanda lepaskan aku berbasikal sendiri. Saat ini aku dah lali dengan jolokan anak manja.

Kisah 10: Aku 14 tahun
Majlis kahwin kakak aku. Balai kanopi bertiang enam depan rumah siap dipasang untuk para tetamu menjamu selera. Tapi salah letak. Perlu dialih lima enam tapak ke kiri. Maka perlu enam lelaki angkat sama-sama. Aku sudah standby pada satu salah satu tiang. Tunggu arahan suruh angkat. Arwah ayahanda bercekak pinggang terdongak tertunduk tertoleh kiri kanan.

Seorang jiran kata: Kita sudah ada enam orang lelaki. Seorang ambil satu tiang. 1,2,3 kita angkat!

Arwah ayahanda: Aie mana kuat.

Jiran ujar: Takkanlah tak kuat. Dah besar.

Arwah ayahanda: Anak aku. Aku tahulah. (memandang aku) Pergi panggil Abang An.

Aku ke dapur panggil abang aku yang 10 tahun lebih tua dari aku. Selepas itu aku menangis belakang jamban luar rumah. Sedar diri lah kan?

Kisah 11: Aku 20 tahun
Sedang membantu produksi teater menyiapkan prop. Ada senior aku (badan memang tough), menghulurkan dawai dan menyuruh aku gunting. Aku terkial-kial mahu gunting. Tercocok tangan. Darah. Dia rampas balik. Lembik lah kao!

Aku tak terasa sangat. Bukan benda baru orang kata aku "lembik".

Kisah 12: Aku 22 tahun
Bersama roomate lama. Mumu, Fifie, Boy merempit pegi restoren tepi highway Karak. Ikut jalan belakang, langkau pagar UIA. Pesan makanan dengan seorang kakak ni. Kakak kah adik kah aku peduli apa kau bukan cantik sangat. 

Pesanan makanan aku - tipikal. Meggi Goreng. Tak nak pedas. 
Sebab aku tak tahan pedas. 

10 minit kemudian meggi goreng sampai. 
Aku kepedasan. Cili padi. 
Sundal wanita mengena aku. 
Kemudian digelakkan dengan rakan-rakan di dapur.

Lelaki kena tahan pedas bukan?
Kalau tak makan pedas, tak cukup lelaki la, tak boleh buat laki. Bukan?

Tapi kalau laki kau main dengan perempuan lain, engkau yang tak cukup laki. 
Pentingkah lagi "makan pedas" kau tu?

Kisah 13: Aku 24 tahun
Aku main badminton dengan Conan, Mumu dan Salwa. Nak kurus dan sihat la kononnya. Aku main kelakar gayanya. Daripada beregu, jadi bertiga sebab Mumu ke kereta sekejap. 

Dalam keseronokan itu Salwa terlepas cakap - hang ni main macam orang perempuan!

Conan cuba neutral keadaan sebab nampak muka aku berubah - oih! janganlah cakap macam tu. Terasa aku!

Aku lantas gelak sebab tidak mahu Salwa dan Mumu perasan aku terasa. Alah, Hairi, kenapa perlu terasa sangat, kau bukan jantan sangat pun.

Kisah 14: Aku 25 tahun
Aku main ping pong dengan rakan sekerja, Meor. Datang seorang perempuan berbangsa Cina, nak main lawan Meor. Oh, Meor memang jaguh sukan di pejabat aku. Perempuan Cina itu pula wakil Negeri Selangor. Main hebat. Sesekali berpeluh gak Meor dibuatnya.

Meor: Hebat lah dia ni. Macam mana ni, Hairi? Perempuan lebih hebat dari kau! Camne ni?

Aku: Berfikir jap untuk respon bagainaman.
Aku bukan ego. 
Aku akui banyak perkara perempuan lebih hebat dari lelaki.
Namun perlukah dihamburkan kata-kata itu ke muka aku?
Kalau dah perempuan lebih hebat, hebatlah. Nak suruh aku buat macam mana lagi?
Malam itu, peristiwa badminton bersama Salwa bertandang lagi ke benak otak aku. 
Aku tidur malam dengan penuh rasa tak berguna jadi lelaki. 
Kisah 15: Aku 26 tahun
Main ATV kat Kemensah. Aku chuak tidak terzahirkan. Masa nak naik, aku tak mampu kawal ATV. Aku gelabah. Untuk keselamatan kali pertama, aku dipantau seorang pegawai sepanjang jalan. Kami berlima. Mumu, Hazeman, Jimi dan rakan Jimi. Mereka semua relax sahaja. 

Aku seorang sahaja yang dipantau pegawai bertugas kerana bimbang kemalangan. Aku malu sebenarnya sebab sebelum tu, ada beberapa awek yang menunggang ATV dengan steady

L di dahi untuk aku. 

Aku dan Aku
Mentaliti kita diasuh, lelaki perlu begini begini begini. 
Baik. Aku terima. Walau aku bukan, aku berusaha ke arahnya. 
Dan kebanyakannya, aku tidak mampu mencapai standard yang diletakkan masyarakat.
Maaf aku tidak bisa jadi seperti yang engkau, engkau dan engkau hukumkan. 
Maka hari ini, aku menerima diri aku seadanya. 
Tanpa perlu memaksa diri.
Persetan nista dan caci.

Terima kasih untuk mereka yang sudi menerima. 
Aku yang tidak sejantan mana. 
Tapi aku ada hati dan pekerti yang bisa diluhurkan bersama. 
Kalau itu masih ada nilai.

Sumpah lega.

3 comments:

Bibah said...

hurmm....

Nurnadia Ab Rahman said...

Lelaki bernama Hairi masih JANTAN dimata kami... tiada istilah LOSER... Biarlah apa manusia-manusia diluar sana nak melalak melolong pasal anda... Jadilah diri anda sendiri kerna itu lebih SEMPURNA. Hidup TOK WAN!

Hairi Tahir said...

aw.... suweet la anda, nad...
*hugs