Friday, October 19, 2012

Lepaskan Jiwa dari Benci

Bismillahirrahmanirrahim...
Sungguh. Ini tulus dari hati. 

Selama 28 tahun aku menghela nafas di bumi ini.
Aku ketemu orang yang datang dan pergi.
Ada yang akrab sehingga hari ini.
Ada juga yang sudah mengorak langkah pergi.

Bertepuk tampar terajang segala. 
Gurau menggila kemudian sentap tak tentu hala.
Kemudian tempuk tampar terajang semula.

Tipu
Jika aku bilang aku tidak rindu
Saat tatap gambar dulu

Namun iblis itu sarjana terbilang dalam bidangnya
Kami tewas dengan asakan hasutan pujukan ablasa
Masing-masing mula menanam benci
Masing-masing mendirikan kubu tersendiri
Masing-masing tubuh skuad saling mengeji
Lantas kita berpisah dan menuruni lorong sendiri

Kalian
Ketahuilah
Benci itu berat jisimnya
Lebih berat dari beg besar adik darjah satu menggalas buku
Lebih berat dari bongkah bata diangkut pekerja 
Lebih berat dari almari dan peti turun dari lori
Dan hari demi hari aku mula sedari
Aku tak mampu mahu galas benci
Bahu aku berdarah tulang retak otot mengecut

Benar aku terasa hati dengan kamu
Benar aku kecewa dengan langkah kamu
Benar aku benci sikap kamu
Benar aku ludah bicara kamu
Benar aku tunduk dengan telunjuk syaitan supaya menyingkir kamu

Walaupun aku rasa telah disakiti kamu
Aku tetap ada dosanya pada kamu
Kerana menyakiti hati kamu

Maka setulus-tulus hati ini dengarkanlah
Persetanlah siapa yang mula sengketa
Persetanlah siapa yang hak dan benar tingkahnya
Kerana semua orang akan rasa dialah mangsanya
Kerana semua orang akan rasa dialah lebih betul segala
Malaikat Atid telah menukil berjela-jela
Risau aku timbangan mizan di akhirat sana

Kita sudah menderita lama
Sedang syaitan bersorak ria
Untuk bicara aku yang menghiris
Untuk laku aku yang mengguris
Dan perlakuan aku yang layak diherdik dan dimaki hamun
Demi Allah Tuhan semesta alam
Aku memohon kalian memaafkan aku
Sebagaimana aku sudah memaafkan perilaku kamu

Hutang sesama kita biarlah langsai
Moga Malaikat Atid memadam sebahagian tulisannya
Tulisannya tentang laku salah sesama kita
Aku dan kamu sama bercakaran
Aku dan kamu saling mencalarkan
Yang sudah itu sudah kita lupakan

Sesudah ini
Mari kita mendoakan kesejahteraan kita
Lorong hidup kita sudah berbeza dan takkan sama
Aku doakan kau berjaya
Kau doakan aku tidak kurang juga

Syaitan Nirrajim,
Nyah kao dari kisah kami!

1 comment:

Bibah said...

err......panjangnyer bang..ahaha